Life of a Reverted Muslim

"O believers enter into Islam completely and do not follow the footsteps of Shaitan, surely he is your clear-cut enemy. If you falter after receiving the clear-cut message, then keep in mind that Allah is Mighty, Wise. Are they waiting for Allah to come down to them in the shadow of clouds, along with the angels, and make His decision known? Ultimately all matters will be presented to Allah for decision"
(Surah Al-Baqara, Ayah 208-210)


Wednesday, May 18, 2011

Doa Qunut terus menerus


Kerap kali mereka yang tidak doa qunut ketika solat Subuh diberi gelaran bermacam macam sehingga melahirkan perasaan kurang selesa tetapi persoalannya adakah Qunut itu Wajib atau Sunat? Apakah dengan tidak membaca Qunut maka seseorang itu boleh dilabel sesat dan keluar dari ASWJ?

Mudahnya masyarakat kita menghukum seseorang kerana tidak mengikut majoriti tetapi adakah kita lupa bahawa kita telah diingatkan oleh Allah bahawa sesuatu amalan di dalam Islam bukan kerana BANYAK ORANG melakukannya tetapi adalah berdasarkan dalil dari Quran & Sunnah. Walhal Allah telah berfirman:

A116

"Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta."

(Al-An'aam 6:116)


Persoalannya di sini apakah seseorang melabelkan pihak yang tidak Qunut Subuh berdasar dalil atau berdasarkan kepada ceramah/kuliah Ustaz tetapi dalam masa yang sama mereka tidak tahu dalilnya? Apakah status hadis tersebut? Bersama kita bongkar himpunan hadis palsu yang masyhur di Malaysia & Nusantara dan kita mulakan dengan Hadis Doa Qunut. Semoga bermanfaat untuk semua.


DOA QUNUT SUBUH TERUS-MENERUS

Anas bin Malik meriwayatkan:

مَازَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَآلهِ وَسلَّمَ يَقْنُتُ فِيْ صَلاَةِ الْغَدَاةِ حَتىَّ فَارَقَ الدُّنْيَا.

Terus-menerus Rasulullah s.a.w (mengerjakan) qunut pada solat Subuh sampai baginda meninggalkan dunia.

Penjelasan:

Hadis ini adalah munkar. Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah (no.7002), ‘Abdurrazaq dalam al-Mushonnaf (3/110), Ahmad (3/162), al-Thahawi dalam Syarah Ma’ani al-Atsar (1/244), Ibn Syahin dalam Hasikh al-Hadith wa Mansukhih (no.220), al-Hakim dalam kitab al-Arba’in sebagaimana dalam Nashbur Rayah (2/132), al-Baihaqi (2/201) dan dalam as-Shugra (1/273), al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah (3/124-124), al-Daruquthni dalam Sunannya (2/39), al-Maqdasi dalam al-Mukhtarah (6/129-130), Ibn al-Jauzi dalam at-Tahqiq (no.689-690) dan dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyah (no. 753) dan al-Khatib al-Baghdadi dalam Mudhih Auwan al-Jama’ wa at-Tafriq (2/255) dan dalam kitab al-Qunut sebagaimana dalam at-Tahqiq 1/463. Semuanya berpangkal kepada jalan Abu Ja’far ar-Razi dari ar-Rabi’ bin Anas dari Anas bin Malik secara marfu'.

Muhammad bin ‘Ali al-Balkhi dan al-Hakim berpendapat bahawa hadith ini adalah hadith yang sahih sebagaimana yang disebut di dalam Khulasah al-Badrul Munir (1/127). Demikian juga pandangan ini turut dipersetujui oleh al-Baihaqi. Walau bagaimanapun, pandangan para tokoh ini terhadap kesahihan riwayat di atas telah pun ditolak oleh sebahagian besar para ahli hadis yang lain.

Antara sebab penolakan para ulamak hadis ke atas kesahihan hadis di atas adalah kerana di dalam sanadnya terdapat seorang rawi yang bernama Abu Ja’far ar-Razi iaitu salah seorang rawi yang terkenal sebagai lemah di dalam meriwayatkan hadis. Berikut dikemukakan beberapa komentar oleh para ahli hadis terhadap Abu Ja’far ar-Razi: Imam Ibn Turkumani, dia berkata di dalam al-Jauhar an-Naqy: Bagaimana boleh sanadnya menjadi sahih sedang rawi yang meriwayatkannya dari Rabi’ bin Anas adalah Abu Ja’far ‘Isa bin Mahan ar-Razi mutakallamun fihi (dikritik).

Ibn al-Qayyim dalam kitabnya, Zadul Ma’ad (1/276) setelah menukil suatu keterangan dari gurunya, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah tentang salah satu bentuk hadis munkar yang diriwayatkan oleh Abu Ja’far al-Razi, beliau berkata: Dan yang dimaksudkan bahawa Abu Ja’far al-Razi ialah orang yang memiliki hadis-hadis yang munkar, sama sekali tidak boleh diguna berhujah oleh seorang pun para ahli hadis. Periwayatan hadisnya yang ia bersendirian dengannya.

Syeikh al-Albani, dalam kitabnya Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Mauhdu’ah (no.1238) memetik komentar Ibn al-Turkama terhadap Abu Ja’far dimana dia berkata: “Bagaimana sanadnya boleh dikatakan shahih, sedangkan perawinya (al-Rabi’ – Abu Ja’far Isa bin Mahan al-Razi) banyak dipermasalahkan dan menjadi buah bibir kalangan muhaddithin. Di antaranya Imam Ahmad dan al-Nasa’i menyatakannya sebagai perawi yang tidak kuat. Abu Zar’ah mengatakan banyak menyimpang di dalam meriwayatkan (hadith). Al-Falas berkata: “Buruk hafalannya”. Ibn Hibban menegaskan: “Terbukti telah meriwayatkan hadith-hadith munkar yang dinisbahkan kepada para perawi kondang.”

Ringkasnya, sesiapa sahaja yang meneliti keterangan para ulamak hadis tentang Abu Ja’far al-Razi ini akan mendapati bahawa kritikan terhadap beliau adalah jarh mufassar (kritikan yang jelas menerangkan sebab kelemahannya seorang rawi). Maka apa yang disimpulkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Taqrib Tahdzib adalah amat tepat. Beliau berkata: Shadiqun sayyi’ul hifzh khususan ‘anil Mughirah (jujur tetapi buruk hafalannya, terlebih lagi riwayatnya daripada Mughirah).

Dalam pada itu, hadis ini juga kelihatan bercanggah dengan hadis-hadis lain yang sahih, di antaranya ialah sebagaimana riwayat Anas bin Malik r.a berikut:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَآلهِ وَسلَّمَ كَانَ لاَ يَقْنُتُ إِلاَّ إِذَا دَعَا لِقَوْمٍ أَوْ عَلَى قَوْمٍ.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak melakukan qunut kecuali apabila beliau berdoa untuk (kebaikan) suatu kaum atau berdoa (keburukan atas suatu kaum). - Hadith riwayat Ibn Khuzaimah (no.620) dan Ibn al-Jauzi dalam at-Tahqiq (1/460), disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Shahihah (no. 639).

Juga hadis berikut:

قُلْتُ لأَبِيْ: يَاأََبَتِ إِنَّكَ صَلَّيْتَ خَلْفَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَسلَّمَ وَأَبِيْ بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيْ هَهُنَا وَبِالْكُوْفَةِ خَمْسَ سِنِيِنَ فَكَانُوْا يَقْنُتُوْنَ فِي الْفَجْرِ؟ فَقَالَ: أَيْ بُنَيَّ مُحْدَثٌٌ.

Saya bertanya kepada ayahku: Wahai ayahku, engkau solat di belakang Rasulullah s.a.w, Abu Bakar, ‘Umar, Utsman dan ‘Ali r.a di sini dan di Kufah selama 5 tahun, apakah mereka melakukan qunut pada solat Subuh?” Maka dia menjawab: Wahai anakku hal tersebut (qunut Subuh) adalah perkara baru (bid’ah). – Hadith riwayat al-Tirmidzi (no.402), al-Nasa’i (no.1080), Ibn Majah (no.1242), Ahmad 3/472 dan 6/394, al-Thabrani (no.8177-8179), al-Baihaqi (2/213) dan lain-lain. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil (no.435) dan Syeikh Muqbil dalam al-Shahih al-Musnad Mimma Laisa Fi ash-Shahihain.



No comments:

Post a Comment

Thanks for visiting my blog and take some time off to read and May it benefit everyone. Everything that is good come from Allah and for every shortcoming come from me. I appreciate all your criticism, suggestion and comment. No permission needed to share as all belong to Allah. Jazakallahu Khaira (May Allah Reward You with Good) for your time and comment....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...